Sakaratul Maut Datang Menjemput

Malam tadi, nurse yang merawat ayah telah memberi kebenaran untuk semua adik-beradik aku dan ibu berkumpul di katil ayah. Keadaan ayah memang sangat teruk dan mereka telah menjangkakan ayah takkan dapat bertahan lama. Sepanjang malam kami semua berkumpul mengelilingi katil ayah dan membacakan surah al-Fatihah seberapa banyak yang boleh untuk bekalan ayah menghadapi sakaratul maut. Bukan setakat kesemua anak-anak ayah dan isteri tercinta menemani ayah sepanjang malam, namun cucu-cucu ayah yang rapat dengan ayah juga turut sama menemaninya. Dengan penuh kepiluan dan rasa sedih yang teramat sangat, kami terus membacakan al-Fatihah untuk ayah di samping ayat-ayat suci yang lain. Di dalam hati kami berdetik, kami redha jika Allah ingin mengambil nyawa ayah, kami pasrah.

Tepat pukul 4.00 pagi, ayah telah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Walaupun kami terlalu sedih, namun bila lihat raut wajah arwah ayah yang penuh ketenangan dan keikhlasan yang terpancar serta berseri-seri di wajahnya, kami dengan rasa penuh keikhlasan juga merelakan pemergian ayah ke alam baqa. Ayah menghadapi sakaratul maut dengan begitu tenang sekali seolah-olah sedang lena tidur.


Urusan jenazah aku uruskan bersama dengan bahagian jenazah rumah mayat Hospital Sultanah Aminah sejurus selepas ayah disahkan meninggal dunia. Sementara jenazah ayah dibawa ke rumah mayat, aku uruskan segala urusan pendaftaran keluar dari wad, bil-bil hospital dan juga urusan pengangkutan untuk membawa jenazah ayah pulang ke kampung halaman. Alhamdulillah, begitu mudah aku rasakan untuk menguruskan segala urusan berkenaan. Untuk mendapatkan van jenazah juga aku tidak menghadapi kesukaran walaupun waktu itu baru pukul 4.50 pagi. Sampai dua buah van jenazah yang sanggup menghantar jenazah ayah ke Batu Pahat, Allahu Akbar!! Akhirnya, aku memilih untuk menggunakan van jenazah yang disediakan oleh pihak hospital sahaja daripada van yang disediakan oleh Pejabat Agama Islam Johor Bahru.


Sementara menunggu pemandu van sampai ke bilik mayat yang datang dari bandar Kulai (jauhnya kira-kira 50 km daripada Johor Bahru), adik-beradik aku bersiap-siap untuk pulang ke Batu Pahat. Aku pesan ngan Mommy jugak supaya menyiapkan segala keperluan yang patut untuk pulang ke kampung. Anteng dan Eja juga disuruh bersiap-siap menunggu aku pulang selepas segala urusan di Rumah Mayat selesai. Sementara di kampung, adik ipar dan abang ipar aku telah dihubungi supaya menguruskan segala keperluan untuk mandi, kafan, sembahyang jenazah dan urusan pengkebumian juga. Jika boleh kami nak kebumikan ayah sebelum Zohor. Al-maklumlah, adik-beradik aku semuanya ada di JB ketika ini. Nasib baiklah, adik ipar dan abang ipar aku ada di kampung. Jadi, segala urusan di kampung akan dilakukan oleh mereka berdua.


Selepas Subuh, kira-kira lebih kurang pukul 6.30 pagi, pemandu van jenazah sampai ke Bilik Mayat. Kira-kira pukul 7 pagi, van jenazah bertolak ke Batu Pahat. Jenazah arwah ayah ditemani oleh ibu, bibik dan anak saudara aku sepanjang perjalanan ke kampung. Sementara adik-beradik, anak-anak saudara dan aku satu family menyusul menaiki kenderaan masing-masing. Cumer family aku bertolak lewat sedikit disebabkan kami terpaksa mengemas rumah terlebih dahulu sebab nak pulang ke kampung sekurang-kurangnya 4 hari lamanyer.


Jenazah tiba di Batu Pahat lebih kurang pukul 9 pagi. Terus dimandikan dan dikafankan. Aku sekeluarga tiba lebih kurang hampir pukul 10 pagi kerana keluar rumah agak lewat sedikit. Adik-beradik aku yang lain dah sampai dulu kerana mereka bertolak lebih awal. Setibanya aku di kampung, jenazah telah siap sedia untuk disembahyangkan. Selesai sembahyang, kami dibenarkan untuk menatap wajah arwah ayah buat kali terakhir dan kemudian dihantar ke tanah perkuburan.


Kira-kira pukul 11.30 pagi, urusan pengebumian jenazah ayah selamat dijalankan. Ayah kini bersemadi di alam baqa'. Hanya doa dan al-fatihah sahaja yang dapat kami bekalkan untuk ayah tercinta. Semoga roh ayah dicucuri rahmat...al-Fatihah!

Post a Comment

0 Comments